Kosmo Online: Terus terajui pasaran sukuk dunia

The Star Online

Malaysia menerbitkan sebanyak RM142.8 bilion sukuk pada tahun lalu

KUALA LUMPUR – Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran penerbitan sukuk dunia pada 2017 dengan terbitan bernilai AS$36.5 bilion (RM142.8 bi­lion) daripada sukuk global.

Menurut agensi penarafan terkemuka, RAM Rating Services Bhd. (RAM Ra­tings), kedudukan itu kemudiannya diikuti oleh Arab Saudi (AS$31.7 bilion atau RM123.9 bilion), Indonesia (AS$6.9 bilion atau RM27 bilion) dan Qatar (AS$5.6 bi­lion atau RM21.9 bilion).

“Jumlah terbitan sukuk global pada 2017 turut melepasi unjuran awal kami sebanyak AS$85 billion (RM266.7 bilion) hingga AS$90 billion (RM351.7 bi­lion) apabila meningkat kepada AS$97.3 bilion (RM380.1 bilion) berbanding AS$72.7 bilion (RM284.8 bi­lion) pada 2016.

“Ini didorong oleh lonjakan terbitan sukuk sebanyak 144.5 peratus atau AS$46.6 bilion dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Kosmo Online

RAM Ratings memaklumkan, pada 2016, Malaysia turut berada di kedudukan teratas arena sukuk global dengan terbitan berjumlah AS$29.9 bilion (RM117 bi­llion).

“Selain itu, sukuk wajaran tinggi terbitan kerajaan yang diterajui DanaInfra Nasional Bhd. (DanaInfra), Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam dan Prasarana Malaysia Bhd. juga terbukti menyokong terbitan sukuk dalam mata wang tempatan pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembiayaan Islam RAM Ratings, Ruslena Ramli berkata, terbitan sukuk mata wang tempatan yang berjumlah RM168.7 bilion pada tahun lepas itu melebihi unjuran agensi penarafan berkenaan iaitu sebanyak RM100 bilion hingga RM120 billion.

“Kami menjangkakan terbitan sukuk DanaInfra akan meningkat secara ketara pada tahun ini, dipacu oleh keperluan pembiayaan bagi projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Lebuhraya Pan Borneo,” katanya. 
– Bernama