Utusan Online - Syarikat Tempatan Layak Bida

utusan


MRT Corp tolak dakwaan projek MRT3 hanya terbuka kepada kontraktor asing


KUALA LUMPUR 13 Nov. - Semua syarikat tempatan termasuk bumiputera layak untuk menyertai tender bagi projek laluan tiga MRT atau MRT3 Circle Line (MRT3) di bawah struktur baharu melalui kontrak siap guna atau turnkey yang diperkenalkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.)

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, melalui struktur tersebut, syarikat tempatan boleh membentuk konsortium bersama dengan syarikat asing terutama melibatkan sistem kerja-kerja komponen bagi membida tender projek itu.

Menurutnya, MRT Corp. menjangka dapat mengumumkan pembida yang berjaya pada Februari tahun depan dengan kerja-kerja pembinaan bermula pada suku ketiga 2019.

Katanya, dakwaan kononnya tidak ada syarikat tempatan yang layak membida bagi projek tersebut tidak tepat kerana melalui struktur baharu itu syarikat tempatan bukan sahaja mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kerja-kerja berkenaan tetapi juga mampu menguruskan pembiayaan projek tersebut.

utusan

“Saya tidak fikir ini (kontrak turnkey) akan menyebabkan syarikat tempatan terpinggir. Tidak timbul isu ini dan ia sama sekali tidak benar. Bagaimanapun, ia bergantung kepada mereka kerana kami mempunyai tawaran kerja yang baik dan mereka perlu berusaha keras untuk mendapatkannya.

“Dalam masa sama, saya juga menegaskan MRT Corp. mengambil pendekatan mengeluarkan tender dan bukannya terus melantik syarikat atau konsortium. Kami mahu memberi peluang yang adil kepada semua orang.

“Jadi, ini adalah satu peluang yang sangat baik kepada syarikat Malaysia yang percaya bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk memikul tanggungjawab ini dan melaksanakannya dengan baik. Tetapi jika tiada syarikat yang layak, kami akan mempertimbangkan untuk menggunakan semula kaedah pembiayaan menerusi DanaInfra,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini, Nomura Securities Malaysia Sdn. Bhd. berpendapat, tidak ada syarikat tempatan yang mampu memenuhi kriteria sebagai kontraktor tunggal bagi projek MRT3 berdasarkan kepada notis tender yang dikeluarkan MRT Corp. awal minggu lalu.

Ini kerana syarikat berkenaan perlu mengemukakan pakej pembiayaan sehingga 90 peratus da-ripada jumlah kos MRT3 untuk sekurang-kurangnya tempoh 30 tahun bayaran semula dan dipersetujui dengan moratorium bagi lapan tahun pertama.

Berdasarkan notis itu, kontraktor perlu membina dan membiayai projek berkenaan di bawah kontrak turnkey dan pembida yang berjaya akan bertanggungjawab bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan projek tersebut dengan laluan sepanjang 40 kilometer itu.

Syarikat yang terpilih pula harus mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja sivil sama ada dua projek metro bandar bernilai sekurang-kurangnya RM5 bilion, atau satu projek metro bandar bernilai sekurang-kurangnya RM10 bilion. Jika terpilih, syarikat tersebut dijangka membina terowong, jejambat, stesen, kerja-kerja trek, bekalan tenaga dan kerja-kerja lain berkaitan struktur untuk MRT3.

CIMB Research dalam nota kajiannya September lalu me¬nganggarkan projek tersebut akan menelan kos antara RM35 bilion hingga RM40 bilion, mengambil kira 75 peratus pembinaannya adalah laluan bawah tanah melibatkan anggaran kos RM1 bilion per kilometer (km) dan RM500 juta per km bagi laluan atas tanah.

Walaupun tidak mendedahkan secara terperinci butiran kos pembinaan projek berkenaan, Shahril menjelaskan, MRT3 adalah ‘lebih mahal’ kerana membabitkan banyak laluan bawah ta-nah berbanding MRT1 dan MRT2 iaitu sepanjang 30 km dan 19 daripada 26 stesen adalah laluan bawah tanah.

“Berbanding MRT1 dan MRT2, peranan Rakan Projek Pelaksana (PDP) dalam kedua-dua projek itu adalah lebih tinggi dalam kerja-kerja awam dan sistem kerja komponen manakala MRT Corp. pula memantau seksyen bawah tanah untuk kedua-dua projek berkenaan,” katanya.